Kempen derma darah 12, 13 Ogos

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Kementerian Kesihatan, melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan kempen derma darah di tempat berasingan pada 12 dan 13 Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, pada 12 Ogos, kempen akan diadakan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (IHS PAPRSB) anjuran IHS PAPRSB, dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang.

Manakala itu, kempen pada 13 Ogos pula dianjurkan oleh Persatuan Kuang Hui dan akan dijalankan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari pukul 7:30 malam hingga 9 malam.

Kempen-kempen derma darah tersebut adalah dibukakan kepada penyertaan orang ramai.

Kenyataan menyatakan, Pusat Pendermaan Darah memerlukan semua jenis darah, terutama sekali jenis A, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit terutama sekali bagi pesakit talasemia dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap yang sihat dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah semasa waktu pejabat.

Orang ramai juga diingatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001 atau e-mel [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).