Kempen derma darah 8 Ogos ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengendalikan kempen derma darah di Kompleks Membeli-belah Mabohai pada 8 Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kempen anjuran Kompleks Membeli-belah Mabohai itu akan berjalan dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Sehubungan itu, orang ramai adalah digalakkan untuk menderma darah semasa kempen berkenaan di mana orang ramai dinasihatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.

Kenyataan menyatakan bahawa Pusat Pendermaan Darah pada masa ini memerlukan semua jenis darah, terutama sekali jenis A dan O, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit terutama sekali bagi pesakit Thalassemia, pesakit yang mempunyai masalah pendarahan dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap yang sihat dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001, e-mel [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).

Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.