Kempen derma darah bermula 6 September

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap yang sihat dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan beberapa kempen derma darah.

Pada 6 September ini, kempen akan diadakan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kampung Pandan di mana kempen anjuran DBP Kampung Pandan itu berjalan pukul 9 pagi hingga 3 petang.

Pada 7 September, DBP Tutong pula akan menganjurkan kempen serupa di perpustakaan berkenaan bermula 9 pagi hingga 11:30 pagi.

Sementara itu, pada 12 September, Restoran Singapore Chicken Rice (SCR) akan menganjurkan kempen serupa di cawangannya di Citisquare dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi.

Kenyataan menyatakan, Pusat Pendermaan Darah masih memerlukan semua jenis darah, terutama sekali jenis A, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit talasemia dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Orang ramai diingatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001, e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).