Kempen derma darah dibatalkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal memaklumkan orang ramai bahawa kempen derma darah yang dijadualkan diadakan di Balai Ibadat Masjid Kampung Mata-Mata esok (21 Februari) akan ditunda pada tarikh yang diumumkan kemudian.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan kempen derma darah di Pusat Membeli-belah Times Square pada 22 Februari dari 9:30 pagi hingga 2 petang, Bank RHB, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 25 Februari dari 9:30 pagi hingga 11:30 pagi dan di Pejabat Pos, Pekan Tutong pada 26 Februari dari 9 pagi sehingga 11:30 pagi.

Kementerian kesihatan dalam kenyataannya, di sini, hari ini, menyatakan bahawa pada masa ini, Pusat Pendermaan Darah memerlukan semua jenis darah kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit terutama sekali bagi pesakit talasemia, pesakit yang mempunyai masalah pendarahan dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa pada tahap yang optima dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu, Kementerian Kesi-hatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah semasa waktu pejabat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001 atau e-mel [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).