Kempen DoA bakal raikan bakti sukarelawan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sedang menyelaras Kempen Hari Bertindak (DoA) sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2021 bermula 1 November lalu hingga 28 Februari 2022.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, di sini, hari ini, Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan setiap 5 Disember.

Ia dilihat sebagai peluang unik untuk para sukarelawan dan organisasi meraikan usaha mereka, berkongsi dan mempromosi kerja mereka dalam kalangan komuniti, badan-badan bukan kerajaan, agensi-agensi swasta dan agensi-agensi kerajaan. Sambutan bermatlamat untuk mengumpul penggiat aktiviti sukarela dan para sukarelawan dalam sama-sama melaksanakan kerja sukarela di samping untuk menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh penggiat aktiviti sukarela dan sukarelawan.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa antara objektif utama sambutan adalah untuk mengadakan maraton kerja sukarela di keempat-empat daerah dengan penglibatan daripada agensi kerajaan, swasta dan pergerakan-pergerakan bukan kerajaan.Kempen DoA pada 2021 mempunyai sembilan kluster iaitu Hak Asasi Haiwan, Seni dan Kreatif, Kemasyarakatan, Bantuan Bencana, Pendidikan, Inisiatif Hijau, Keusahawanan Sosial, Kerohanian dan Keagamaan serta Pembangunan Belia.

Pelaksanaan projek untuk berkenaan diadakan secara maya atau dalam talian melalui media sosial dengan cara pelaksanaan projek sedikit berbeza mengikut garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan dan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam penganjuran acara sosial semasa menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sehubungan itu, KKBS mengalu-alukan penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan, swasta, pergerakan-pergerakan bukan kerajaan dan kumpulan-kumpulan belia bagi sama-sama memeriahkan lagi Kempen DoA.

Kenyataan menyatakan bahawa pendaftaran bagi menyertai acara berkenaan boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi Mengalinga dan mendaftar sebagai organisasi.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Urus Setia Kempen DoA di talian 7160016 atau e-mel ivdbn.jbs@gmail.com.