Kempen Drop Your Blood Letters bantu tambah bekalan darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Orang ramai diseru untuk sama-sama tampil ke hadapan bagi menghulurkan khidmat bakti dengan menderma darah dalam membantu mereka yang memerlukan.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay turut mendermakan darah bagi menyokong kempen kesedaran, Drop Your Blood Letters, di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini. Beliau juga menyatakan bahawa pusat menderma darah pada masa ini, memerlukan semua jenis darah dan menggalakkan semua penderma serta mereka yang berminat untuk tampil ke hadapan bagi menderma darah.

Bagi menyokong kempen kesedaran yang dilancarkan pada 14 Mei itu, TYT Richard Lindsay dan isteri, Xanthe Lindsay, turut memberikan komitmen untuk terus menderma darah bagi membantu pusat berkenaan meningkatkan jumlah orang menderma darah kepada pusat itu serta membantu para pesakit yang memerlukannya.

TYT Richard Lindsay turut menyatakan perasaan gembira kerana dapat menderma darah sebagai sokongan kepada kempen kesedaran itu serta memainkan peranan dalam kempen yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam.

Beliau berkata bahawa menerusi kempen itu, ia merupakan salah satu cara untuk membantu meningkatkan kesedaran menderma darah dan membantu mereka yang memerlukan darah serta dapat membantu untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

Pusat Pendermaan Darah RIPAS akan melanjutkan waktu operasi di sebelah malam dari pukul 8 malam hingga 10 malam pada hari ini, 19 Mei dan 21 Mei. Para penderma darah adalah dinasihatkan untuk menempah slot mereka menerusi sistem tempahan atas talian di, https://calendly.com/bdcripas.

Bagi mereka yang berkeinginan untuk menderma darah juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi BruHealth dan untuk mengimbas kod QR di Pusat Pendermaan Darah RIPAS apabila masuk dan keluar meninggalkan premis berkenaan.

TYT Richard Lindsay dan isteri, Xanthe Lindsay, menderma darah bagi menyokong kempen kesedaran, Drop Your Blood Letters, di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, hari ini. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan