Kempen GHK motors kumpul 46 pain darah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Dengan slogan Donate Blood, Save Lives, GHK Motors Sdn Bhd telah menganjurkan kempen derma darah di bilik pamerannya di Beribi, hari ini, di mana sebanyak 46 pain darah telah berjaya dikumpulkan.

Dikendalikan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi, kempen tersebut disertai oleh pihak pengurusan dan pekerja syarikat berkenaan dengan diketuai oleh pengarahnya, Jake Goh serta orang ramai.

Kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat GHK Motors dan dijalankan dua kali setahun untuk membantu menyelamatkan nyawa.

Walau bagaimanapun, pada tahun ini, kempen tersebut telah ditangguhkan disebabkan wabak COVID-19 yang melanda negara dan sekatan yang dibuat oleh kementerian-kementerian atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Pengurangan sekatan-sekatan telah memberikan peluang kepada GHK untuk mengadakan kempen derma darah tahunan itu di ibu pejabatnya di Perindustrian Beribi, hari ini.

Dengan mematuhi nasihat kesihatan awam dan garis pandu oleh Kementerian Kesihatan, penyelenggaraan acara berkenaan dilakukan dengan sewajarnya terutama dalam penjarakan fizikal, penggunaan penutup mulut dan hidung, pembersih tangan, pengimbasan kod QR BruHealth dan pemeriksaan suhu badan.

Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS juga menjalankan prosedur dan memastikan bahawa penderma mematuhi nasihat kesihatan awam, menekankan penggunaan penutup mulut dan hidung sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menentukan sana ada mereka layak atau sesuai untuk menderma.

Antara yang menderma darah di Bilik Pameran GHK Motors, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani