Kempen indahkan suasana kampung

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Dalam usaha untuk mengindahkan suasana kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN)Tanah Jambu, kelmarin telah mengadakan kempen gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekitar tugu peringatan berusia 60 tahun sempena penubuhan Jabatan Kemajuan Perumahan yang didirikan di salah satu kawasan pusing keliling.

Hadir bagi sama-sama membersihkan kawasan tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung (RPN) Tanah Jambu, Haji Abdul Wahab bin Haji Kassim.

Kempen kebersihan yang julung kali diadakan itu diharapkan dapat menyatupadukan masyarakat agar saling menghormati terhadap jiran serta tidak camah mata bagi mewujudkan keceriaan dan kebersihan suasana kampung.

RPN Tanah Jambu mempunyai 13,118 jumlah penduduk dan 1,874 unit rumah yang meliputi tujuh kawasan iaitu enam RPN dan satu Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ).

Aktiviti tersebut turut disertai oleh Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim selaku pemangku penghulu Mukim Mentiri bersama ketua-ketua kampung di bawah Mukim Mentiri.

Gambar ramai sebahagian daripada MPK RPN Tanah Jambu yang menyertai aktiviti gotong-royong tersebut.