Kempen JPMC, Hengyi kumpul 66 pain darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Sebanyak 66 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah selama dua hari, kelmarin dan hari ini, yang dianjurkan oleh Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) dengan kerjasama Jerudong Park Medical Centre (JPMC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Hengyi, kempen yang diadakan di Ibu Pejabat Hengyi Industries di Pulau Muara Besar itu telah disertai oleh kakitangan dan pasukan pengurusan syarikat berkenaan.

Kenyataan menyatakan, bagi memastikan keselamatan para penderma darah, langkah-langkah pencegahan ketat telah dilaksanakan bagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kempen berkenaan merupakan yang kedua dianjurkan oleh Hengyi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah secara sukarela dan bagaimana satu pendermaan darah boleh menyelamatkan tiga nyawa.

Kenyataan menyatakan bahawa Hengyi merancang untuk menganjurkan lebih banyak kempen derma darah pada masa hadapan dengan harapan ia akan menggalakkan masyarakat untuk menderma bagi menyelamatkan nyawa.

Pasukan perubatan JPMC bergambar ramai bersama beberapa orang penderma dan warga Hengyi. – Gambar serahan Hengyi