Kempen ‘Kasut untuk Brunei’ dilancarkan

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 21 Jan – Sebagai persediaan untuk kejohanan bola sepak antara sekolah yang akan datang, tiga orang guru dari Sekolah Panaga telah mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Mohd Yusof (SR PSJ PMY), baru-baru ini.

Lawatan ke SR PSJ PMY yang diketuai oleh seorang guru di Sekolah Panaga, Tania Mehlhopt itu diadakan bagi mempromosikan sukan bola sepak kepada pelajar muda yang berminat sambil membantu memupuk gaya hidup sihat.

Sempena lawatan itu juga, kempen ‘Kasut untuk Brunei’ juga dilancarkan dan merupakan usaha kemuncak para pelajar serta masyarakat sekitarnya, di mana kasut, pelindung tulang kering dan banyak lagi kelengkapan berkaitan sukan bola sepak disumbangkan bagi menjayakan kejohanan itu nanti.

“Secara keseluruhan, sekitar 15 pasang kasut bola sepak dan pelindung tulang kering telah disumbangkan,” kata Tania Mehlhopt sambil menambah bahawa lawatan itu juga merupakan usaha untuk menggalakkan penyertaan daripada pelajar perempuan dalam sukan bola sepak.

Semasa lawatan itu, para guru menyampaikan taklimat ringkas bagi memberi inspirasi dan galakkan kepada para pelajar untuk terlibat dalam permainan bola sepak serta mempromosikan pasukan yang akan mengambil bahagian.

“Kasut-kasut yang kami dermakan itu jarang digunakan atau hanya digunakan sekali dan jika kami mendermakannya, kami mungkin dapat menggalakkan pelajar dan guru untuk mengambil bahagian dalam kejohanan itu nanti,” katanya.

Kejohanan bola sepak antara sekolah dijangka diadakan pada 17 Februari di Kampus Teraja Sekolah Panaga dan Kelab Panaga dan Sekolah Panaga terus melancarkan inisiatif dalam mendermakan kasut bola sepak dan peralatan sukan lain kepada sekolah-sekolah lain di Daerah Belait

Kasut-kasut bola yang disumbangkan kepada perwakilan SR PSJ PMY oleh guru-guru Sekolah Panaga.
Para pelajar sekolah menunjukkan kasut bola yang disumbangkan oleh Sekolah Panaga.