Kempen kebersihan giat dijalankan

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 19 APRIL–Jabatan Daerah Belait hari ini meneruskan kempen kebersihan di gerai-gerai kawalan Jabatan Daerah Belait.

Kempen kebersihan di Tamuneka Sungai Bera, Seria juga disertai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Hadir mengetuai kempen tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed, pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan yang terlibat.

Kempen ini bertujuan untuk memastikan gerai tersebut dalam keadaan bersih dan selamat digunakan oleh para penjaja dan pengunjung yang datang sebagai salah satu langkah pencegahan penularan penyakit-penyakit berjangkit terutama wabak COVID-19 yang sedang melanda negara pada masa ini.

Dalam masa yang sama, ianya juga bertujuan untuk memastikan penjaja-penjaja di kawasan tersebut turut sama menjaga kebersihan petak jualan ma-sing-masing dan sekitar kawasan gerai.

Dengan adanya kempen kebersihan ini, diharapkan ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutama penjaja-penjaja dan pengunjung betapa pentingnya bagi sama-sama menjaga kebersihan dan seterusnya membudayakan amalan menjaga kebersihan.

Ianya merupakan salah satu inisiatif Jabatan Daerah Belait untuk menjadikan kawasan gerai tersebut lebih bersih, indah, ceria dan bebas daripada pembiakan nyamuk serta bebas daripada sebarang jangkitan penyakit.

Kempen kebersihan yang dilakukan di Tamuneka Sungai Bera, Seria.