Kempen kebersihan kumpul 1,000kg sampah

BELAIT, 18 OGOS – PTAS Aker Solutions, baru-baru ini, telah menganjurkan inisiatif membersihkan pantai di Kuala Belait sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat berkenaan untuk melindungi alam sekitar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PTAS Aker Solutions, seramai 92 orang kakitangan dari syarikat berkenaan, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan rakan-rakan niaga termasuk Adinin Works & Engineering Sdn Bhd, Shika Sdn Bhd, Zainal Daud Sdn Bhd, Techoil Company Sdn Bhd, Baker Hughes, Petrokon Utama Sdn Bhd (PUSB) dan Sahid Sdn Bhd telah menyertai program tersebut.

Pengarah Projek PTAS Aker Solutions, Bjørn Viken dalam ucapan alu-aluannya dipetik berkata, “Kami terus melihat jumlah besar sampah di pantai-pantai dalam program alam sekitar tahunan kami (dan) serpihan plastik adalah jenis sampah yang paling biasa ditemui.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengurangkan impak alam sekitar dengan tidak membuang sampah di pantai-pantai dan memastikan bahan buangan terutama yang tidak terbiodegradasikan dibuang dengan betul,” tambah beliau.

Kenyataan menyatakan, para peserta telah mengumpulkan sebanyak 107 beg sampah dengan berat lebih 1,000kg keseluruhannya dalam aktiviti selama dua jam meliputi kawasan kira-kira 2km pantai berkenaan. Aktiviti berkenaan menekankan impak pencemaran plastik ke atas ekosistem marin dan menggalakkan pembuangan sampah yang teratur.

Lebih 1,000kg sampah dikumpul semasa kempen membersihkan pantai PTAS Aker Solutions. – Gambar serahan PTAS Aker Solutions