Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan kumpul 1,103.28kg sampah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Sejumlah 1,103.28 kilogram (kg) sampah termasuk tumbuh-tumbuhan telah berjaya dibersihkan di sepanjang tebing Sungai Menglait dari persekitaran kawasan Promenade, Sungai Menglait Gadong sehingga Jambatan Dayang Siti Hamidah (The Mall Gadong) dan kawasan sekitarnya bermula 8 pagi, hari ini.

    Kempen anjuran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) bersempena dengan sambutan memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-53 itu diadakan bagi memastikan kebersihan Bandar Seri Begawan sentiasa terkawal dan bebas daripada sebarang ancaman pencemaran.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan selaku Pengerusi Kumpulan Petindak (Legal & Enforcement), Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin selaku Pengerusi Kumpulan Petindak (Stakeholder’s Awareness and Stewardship) JIIK.

    Tetamu kehormat seterusnya merasmikan papan-papan tanda menjaga kebersihan di dua lokasi di kawasan berkenaan.

    Pemasangan papan-papan tanda berkenaan akan dilaratkan ke tempat-tempat yang telah dikenal pasti di sekitar Bandar Seri Begawan.

    Kempen kebersihan berkenaan melibatkan penyelarasan bersama beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) serta pemilik-pemilik bangunan, penyewa-penyewa premis perniagaan di persekitarannya dan pihak sukarelawan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada Green Brunei dan Zero Waste Brunei.

    Antara aktiviti kempen termasuk membersihkan longkang, laluan pejalan kaki persekitaran tebing sungai dan kawasan persekitarannya.

    Ia diharap menjadi satu kempen kesedaran kepada orang ramai untuk menjadikan kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.

    Dalam pada itu, ia juga dihasratkan dapat mencapai matlamat untuk memupuk kesedaran tentang nilai kebersihan dan keperluan mewujudkan persekitaran yang bersih dan cantik di seluruh negara terutama sekali persekitaran ibu negara.

    Awang Abdul Walid dan Haji Maswadi bergambar ramai semasa kempen berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pekerja buruh di jabatan bandaran membuat kerja-kerja pembersihan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda