Kempen kebersihan kumpul 25 beg sampah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 14 JUN – Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang diraikan setiap 5 Jun, masyarakat Kampung Lumut dan sekitarnya telah mengadakan kempen kebersihan di Kawasan Penurunan / Penaikan Perahu Kampung Lumut.

Secara keseluruhannya, sebanyak 25 beg sampah telah dikumpulkan yang mengandungi sampah dan bahan-bahan terbuang termasuk satu set sofa yang dikutip oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) untuk dibuang di tempat yang ditetapkan.

Kempen yang diadakan pagi kelmarin itu diketuai ahli Majlis Perundingan Kampung Lumut II, PW2 Haji Khairdon bin Haji Dahlan yang menyatakan bahawa kemudahan di bawah Jabatan Perikanan itu telah aktif digunakan sejak Disember 2019.

Selain kegiatan itu, kempen-kempen kebersihan juga telah dijalankan oleh warga Kampung Lumut dan para pengguna kemudahan berkenaan (nelayan tempatan) secara rutin.

Kempen kebersihan berkenaan juga disertai oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei serta para perwakilan Jabatan Perikanan dan JASTRe Daerah Belait.

Warga kampung mengumpulkan sampah-sampah yang dikutip semasa kempen itu.