Kempen kebersihan kutip lebih 600kg bahan buangan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Sejumlah 68 beg sampah dengan berat 390 kilogram dan 297.4 kilogram sisa kitar semula telah dikumpulkan dalam Kempen Pembersihan Hari Alam Sekitar Sedunia yang dianjurkan oleh Green Brunei, kelmarin.

Sampah yang dikumpulkan tersebut adalah dari sekitar Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Bolkiah A di mana seramai 50 orang sukarelawan mengambil bahagian dalam kempen kebersihan tersebut termasuklah para pelajar Universiti Brunei Darussalam yang sedang menjalani Tahun Penemuan di Green Brunei, Brunei Kayak, para penduduk kampung, warga Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Syarikat S.B. Kani dan orang ramai.

Para sukarelawan dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana salah satu kumpulan ditugaskan untuk membersihkan sungai menggunakan kayak dan kumpulan lainnya membersihkan kawasan letak kereta manakala sukarelawan Syarikat S.B. Kani pula memotong rumput di sekitar kawasan letak kereta.

Ketua projek berkenaan, Dayang Nur Farah Hana binti Muhammad Nawawi menjelaskan, tujuan projek berkenaan diadakan adalah bagi menyokong dan meningkatkan tahap kesedaran mengenai Hari Alam Sekitar Sedunia selain memberi pengajaran kepada orang ramai mengenai cara betul dalam membuang sisa sampah.

Beliau turut menambah berikutan penularan wabak COVID-19, keselamatan dan kesejahteraan para sukarelawan sentiasa dipastikan serta diutamakan dengan menyediakan penutup mulut dan hidung, sarung tangan serta cecair pembersih tangan di samping dikehendaki mengimbas kod QR bagi aplikasi BruHealth terlebih dahulu bagi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan yang baik.

Penjarakan fizikal turut sentiasa dipraktikkan di sepanjang acara tersebut diadakan di mana para sukarelawan tidak dikumpulkan bersama dalam satu tempat dan pembahagian bungkusan makanan bungkus diberikan untuk dibawa pulang sahaja.

Hadir pada acara berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari serta Ketua Kampung Bolkiah A, Awang Shahminan bin Matzin.

Turut hadir ialah Pengasas Kayak Brunei, Mejar (B) Mohd Akhmalnizam yang turut menyediakan empat buah kayak bagi aktiviti pembersihan di sekitar perairan Kampung Bolkiah A.

Kempen Pembersihan Hari Alam Sekitar Sedunia yang dianjurkan oleh Green Brunei berjaya mengumpul 68 beg sampah. – Gambar serahan Green Brunei