Oleh Lyna Mohamad –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada penuntut-penuntut dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) dan Sekolah Menengah Awang Semaun telah menyertai kempen kebersihan di Pantai Jerudong, hari ini.
Kempen tersebut dianjurkan oleh Beach Bunch dan disokong oleh Sivil Sdn Bhd dan Validus Enterprise.
Kempen kebersihan itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar, selain bagi menyemai sikap bertanggungjawab dan menerapkan komitmen yang kuat untuk memelihara keindahan pantai dalam kalangan penuntut pada usia yang muda.
Sementara itu Pengarah Urusan Sivil Sdn Bhd, Goo Han Leong berkata, “Dedikasi para penuntut untuk melindungi alam sekitar adalah sangat memberikan inspirasi. Ini bukti kefahaman mereka terhadap aspirasi negara dalam menjaga kebersihan.
“Kempen kebersihan ini juga mampu mengubah hari esok,” tambahnya.
Dayang Aishma Murni dari SMSUA pula mengongsikan bahawa kempen tersebut melibatkan 57 orang penuntut dari Tahun 10 dan enam orang guru pengawas dan ia diadakan bersempena dengan aktiviti hujung tahun dan penghujung tahun akademik.
“Para penuntut gembira dapat menyertai aktiviti ini kerana ia adalah pengalaman baharu bagi mereka. Ia juga merupakan salah satu cara untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Selain itu, ia juga satu cara untuk mengeratkan hubungan antara penuntut dan orang ramai yang terlibat, selain menjadi pelepas tekanan selepas berada di dalam kelas sejak awal tahun.
“Lagipun, pembelajaran tidak hanya terhad di dalam kelas sahaja,” ujarnya.
Kempen itu juga diisikan de-ngan sesi perkongsian mengenai bahaya penggunaan plastik sekali guna dan kepentingan mengenai tanggungjawab pengurusan sampah.
Aktiviti tersebut turut disertai oleh sukarelawan daripada peniaga-peniaga tempatan yang turut berkesudian menaja dan menyokong inisiatif ini.
Antara jenis sampah sarap yang berjaya dikutip termasuk botol plastik, pembungkus makanan dan barang-barang yang dibuang, yang kemudian diasingkan untuk dikitar semula dan dibuang dengan cara yang betul.