Kempen kebersihan lindungi alam sekitar

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 17 JUN – Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk melindungi alam sekitar, lebih 20 orang ahli Kumpulan IMPAK Tutong Youth Movement telah menyertai kempen kebersihan di Pantai Danau, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Kempen kebersihan tersebut merupakan anjuran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE), Kementerian Pembangunan dengan kolaborasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Menurut Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku pengerusi kumpulan menyatakan kempen berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada belia tempatan dan orang awam mengenai kesan jangka panjang penggunaan dan pencemaran barangan plastik terhadap pantai-pantai dan lautan.

Tambahnya, kita juga perlu mengetahui bahawa di muka bumi ini bukan saja kita sebagai manusia yang tinggal namun ada juga makhluk lain seperti haiwan-haiwan marin yang juga perlu diambil berat, jika kita membiarkan sampah sarap di kawasan pantai tidak mustahil ia boleh mengakibatkan haiwan-haiwan berkenaan hidup dalam keadaan terancam sehingga membawa kepada kematian.

Dengan adanya kempen sedemikian, sebagai salah satu langkah positif untuk mengelakkan dari berlakunya kepupusan kehidupan haiwan-haiwan marin tersebut, sekali gus dapat mengekalkan keindahan pantai yang menjadi tanggungjawab bersama.

Ahli Kumpulan IMPAK Tutong Youth Movement semasa mengikuti kempen kebersihan di Pantai Danau, Daerah Tutong, baru-baru ini. – Gambar serahan Kumpulan IMPAK Tutong Youth Movement