Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Hujan yang turun tidak melemahkan semangat lebih kurang 200 orang sukarelawan untuk menyertai kempen kebersihan di Pantai Muara, kelmarin, di mana 1,470 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan.
Kempen anjuran Kedutaan Republik Korea di Brunei Darussalam dengan kerjasama Change & Impact dan Kumpulan Sukarelawan itu turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun yang mengetuai pasukan sukarelawan sepanjang kempen.
Dalam ucapan alu-aluannya, TYT Kim Soung-eun menekankan kepentingan perlindungan alam sekitar dan keperluan usaha kerjasama untuk pembangunan yang mampan.
Beliau juga menyentuh bahawa Republik Korea telah mengetuai pelbagai inisiatif perlindungan alam sekitar dengan AMS dan ia merancang untuk bekerjasama rapat dengan Pusat Perubahan Iklim ASEAN, yang akan ditubuhkan tidak lama lagi di Bandar Seri Begawan.
Bagi memastikan keselamatan dan kecekapan semasa kempen berlangsung, semua peserta dilengkapi dengan peralatan pembersihan yang diperlukan, termasuk sarung tangan dan beg sampah.
Sepanjang kempen ini, para sukarelawan telah menemukan pelbagai jenis sampah, seperti plastik, tin, sisa, botol, selipar, dan pelbagai bentuk sampah lain.
