Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Dalam usaha memeduli dan menjaga kesejahteraan serta kebajikan warga emas di Rancangan Perumahan Lambak Kanan, kempen kebersihan telah diadakan menerusi Program Kasih Komuniti dengan menyasarkan sebuah rumah warga emas di Kawasan 3, Perpindahan Lambak Kanan, hari ini.
Kempen tersebut dilaksanakan oleh Unit Kaunseling dan Sukarelawan (UKS), Bahagian Perhubungan Awam, Kaunseling dan Sukarelawan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 3 Perpindahan Lambak Kanan di bawah pimpinan Ketua Kampung Kawasan 3, Haji Mahir bin Mohd Yusof.
Kempen dijalankan di rumah milik Haji Yunos bin Haji Jamil, 75, yang tinggal bersama seorang anak lelakinya.
Haji Mahir dalam ucapannya sebelum kempen dilaksanakan menjelaskan bahawa kempen kebersihan di rumah warga emas itu adalah kali kedua dilaksanakan dalam usaha memeduli kesejahteraan dan kebajikan warga emas di kampung berkenaan.
“Untuk kempen kali ini, banyak pihak terlibat dalam sama-sama berganding bahu dan memberi sokongan terhadap usaha murni ini selain inisiatif seumpama ini akan menjadi pemangkin kepada semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia apatah lagi mereka yang sinonim selaku pelapis dan generasi penerus di negara ini,” jelasnya. Dengan semangat kesukarelawanan ini, tambahnya, program berkenaan juga membuktikan kesatuan yang dapat dilihat sebagai usaha meningkatkan sinergi dalam kalangan masyarakat.
Program berkenaan menyasarkan sokongan dan bantuan terhadap golongan-golongan terdedah di Negara Brunei Darussalam seperti golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
Dengan adanya program berkenaan, ia dapat menyatukan pelbagai agensi dalam sama-sama memastikan kesejahteraan golongan warga emas terjaga di negara ini.
Kempen yang bermula pukul 8 pagi itu melibatkan sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) selain penglibatan pegawai dan kakitangan JAPEM, sukarelawan JAPEM, sukarelawan warga emas, belia, Alumni PEER dan anak buah kampung Kawasan 3 serta orang persendirian.
Rangkaian kerjasama antara pelbagai agensi itu merupakan bukti di mana pendekatan Whole-of-nation itu boleh direalisasikan dengan adanya kerjasama kukuh dengan tumpuan utama bersama-sama menjaga kesejahteraan golongan terdedah, masyarakat secara amnya dan negara secara keseluruhannya.