Kempen kebersihan promosi pemuliharaan alam sekitar

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Dalam menyokong Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Lautan Sedunia yang jatuh dalam bulan Jun, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melancarkan inisiatif RB Trek and Clean untuk mempromosikan pemuliharaan alam sekitar.

Menerusi inisiatif yang diadakan dengan kerjasama Green Brunei dan sokongan Jabatan Perhutanan itu, lebih 20 orang kakitangan RB mengambil bahagian dalam kempen membersihkan Pantai Berakas, kelmarin. Turut menyertai acara berkenaan ialah perwakilan daripada McDonald’s Brunei dan Green Brunei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RB, sebanyak 200kg sampah yang terdiri daripada botol-botol plastik, beg plastik, bungkusan makanan dan sebagainya telah dikumpulkan dalam kempen berkenaan. Inisiatif tanggungjawab sosial RB berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kemapanan alam sekitar menerusi pelbagai tindakan seperti aktiviti pembersihan di kawasan-kawasan pantai, taman rekreasi, kawasan awam dan jalan-jalan kejiranan di Brunei.

Kenyataan turut menyatakan bahawa dalam beberapa bukan akan datang, RB akan terus menganjurkan pelbagai inisiatif hijau yang menyokong perlindungan alam sekitar di negara ini dan mendidik orang awam mengenai amalan-amalan terbaik untuk membantu memulihara alam sekitar.

Syarikat Penerbangan Diraja Brunei telah melancarkan inisiatif RB Trek and Clean untuk mempromosikan pemuliharaan alam sekitar. – Gambar serahan RB