Kempen kebersihan sambutan Hari Laut Sedunia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bersempena Sambutan Hari Lautan Sedunia yang jatuh pada setiap 8 Jun, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengadakan kempen membersihkan takat-takat karang di kawasan Pulau Pilong-Pilongan, kelmarin.

Kempen pembersihan itu merupakan usaha sama antara Jabatan Perikanan dengan salah sebuah syarikat penyelam skuba tempatan, Syarikat Poni Divers.

Syarikat berkenaan berpengalaman dalam aktiviti menyelam dan menyediakan perkhidmatan latihan skuba kepada pihak kerajaan, agensi korporat dan juga orang persendirian termasuk menyediakan khidmat penyelidikan bagi persekitaran marin.

Aktiviti itu disertai oleh seramai 15 orang penyelam dari Jabatan Perikanan dan Poni Divers yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers, Awang Muhammad Tahsin Wong bin Abdullah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, di sini, kelmarin, kempen membersihkan pukat-pukat yang terdampar di kawasan takat-takat karang itu turut diselaraskan oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan KSSUP, Hajah Munah binti Haji Lampoh bagi mengetuai pihak Jabatan Perikanan.

Penyelam dari Jabatan Perikanan dan Syarikat Poni Divers membersihkan takat-takat karang di kawasan Pulau Pilong-Pilongan, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Perikanan

Kenyataan menyatakan bahawa aktiviti menyelam itu telah berjaya mengumpulkan hampir 30 kilogram pukat yang telah rosak dan hanyut di kawasan perairan Pulau Pilong-Pilongan.

Di samping itu, kerja-kerja pembersihan takat di kawasan antara Kuala Tutong dan Daerah Belait ke destinasi Porter’s Patch yang juga dikendalikan oleh Jabatan Perikanan bersama Syarikat Poni Divers telah pun selesai dilaksanakan pada 5 Jun yang lalu.

Kenyataan menerangkan bahawa pada 2008, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 63/111, perenggan 171 telah mengisytiharkan mulai dari 2009, Sambutan Hari Lautan Sedunia akan diadakan pada setiap 8 Jun.

Pada tahun ini, tema sambutan adalah ‘Inovasi bagi Lautan Mapan’ yang mengetengahkan sumbangan lautan kepada masyarakat setempat khasnya dan kehidupan manusia keseluruhannya serta juga memberi peluang untuk menimbulkan kesedaran mengenai cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat antarabangsa mengenai lautan terutama dalam mempertahankan kapasitinya untuk mengawal perubahan iklim, memberikan perkhidmatan ekosistem bagi menampung kehidupan yang berkesinambungan dan rekreasi yang selamat.

Lautan dan ekosistem marin terdedah kepada pencemaran daripada aktiviti manusia termasuk aktiviti penangkapan ikan seperti pembuangan pukat-pukat yang telah rosak yang mana boleh mengakibatkan pencemaran ke atas sumber perikanan yang penting dan boleh mengancam kehidupan marin.