Kempen Kedutaan Thailand kutip 30 pain darah

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kedutaan Thailand di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Dalam usaha membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutama sekali pada waktu kecemasan, Kedutaan Thailand di Brunei Darussalam telah mengadakan kempen derma darah bagi komuniti dan warga Thailand di negara ini, kelmarin.

Kempen yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan sesi kedua bermula 12:30 tengah hari hingga 2 petang.

Kempen yang diadakan buat kali kelima sejak 2019 itu juga menyaksikan kehadiran Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul yang berkesudian menyampaikan buah tangan berupa hidangan Thailand dan pencuci mulut sebagai tanda penghargaan kepada para penderma atas sokongan teguh dan dedikasi mereka setelah mengambil bahagian dalam kempen tersebut.

Puan Yang Terutama menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penderma darah daripada kalangan masyarakat Thailand di negara ini atas kemurahan hati dan sokongan berterusan mereka terhadap kempen pendermaan darah tersebut terutamanya pada masa pandemik ini.

Sebanyak 30 pain darah berjaya dikumpulkan semasa kempen darah tersebut semen-tara itu, sejumlah 61 pain darah berjaya dikumpulkan daripada oleh orang ramai yang membuat perjanjian dengan Pusat Pendermaan Darah pada hari itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga dengan situasi pandemik COVID-19, setiap penderma darah dikehendaki hadir mengikuti masa perjanjian sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pusat berkenaan.

PYT Wanthanee Viputwongsakul menyampaikan hidangan dan pencuci mulut sebagai tanda penghargaan kepada penderma darah.
Antara yang menderma darah semasa kempen tersebut.