Kempen kitar semula 23 Ogos

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam usaha menggalakkan penduduk Daerah Belait membantu dalam kempen kitar semula, Green Depot akan mengadakan kempen kitar semula pada 23 Ogos depan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Masjid STKR, Lorong Tiga, Seria.

Aktiviti terbaharu itu merupakan kempen kitar semula kelima yang dijalankan oleh Green Depot, satu projek di bawah Green Brunei dan disokong oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) untuk memupuk tabiat mengitar semula produk-produk terpakai dan pada masa yang sama mengurangkan jumlah bahan buangan yang dibuang di tempat pembuangan sampah.

Sehubungan itu, kempen tersebut berfungsi sebagai satu platform untuk penduduk membawa bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti kertas, kadbod, besi, aluminium, botol plastik dan barangan elektronik atau komputer dibuang.

Kempen tersebut berjaya mengutip lebih 36,000 kilogram barangan boleh dikitar semula daripada lebih 800 pengguna dalam tempoh dua tahun lalu sejak Green Depot ditubuhkan pada Disember 2018.

Kempen kitar semula yang dijalankan oleh Green Depot sebelum ini.