Kempen kumpul 45 pain darah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Sebagai usaha untuk menambah tabung darah bagi membantu mereka yang memerlukan di negara ini, kempen-kempen menderma darah terus dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Kompleks Annajat juga tidak ketinggalan memberikan sokongan melalui kempen derma darah yang diadakan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di premisnya, hari ini, mana kempen dari pukul 10 pagi hingga 2 petang itu berjaya mengumpul sebanyak 45 pain darah.

Antara lain tujuan kempen adalah untuk memberi sokongan dan keprihatinan kepada masyarakat dalam menyumbang dan menambah stok darah di hospital berkenaan. Di samping itu, ia juga sebagai amalan berkebajikan dan menanamkan sifat beramal jariah dengan menderma darah yang dapat menyelamatkan nyawa.

Salah seorang penderma darah yang sempat ditemu bual, Dayang Akmal Nazihah binti Haji Shazali menyatakan harapan untuk menjadi penderma aktif dalam membantu tabung darah Hospital RIPAS dan secara tidak langsung dapat membantu mereka yang memerlukan darah dalam masa kecemasan.

Beliau berkata, ini adalah kali ketiga beliau menyertai kempen menderma darah, yang mana kali pertama pada 2019 di Universiti Brunei Darussalam.

Menurutnya lagi, beliau akan berusaha untuk menderma darah lagi pada tahun depan sekali gus untuk terus kekal sihat dan membantu mereka yang memerlukan.

Dayang Akmal Nazihah ketika menderma darah pada kempen yang diadakan Kompleks Annajat.