Kempen kutip 1,000kg sampah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 30 OGOS – Sebagai sebahagian daripada misi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dalam memastikan alam sekitar kekal bersih, Kelab Lions Belait telah menjalankan kempen kebersihan pantai di Taman Rekreasi Jubli Perak, Kuala Belait, hari ini.

Dianjurkan sebagai sebahagian daripada Projek Alam Sekitar: Bersih Pantai, kempen berkenaan dipimpin oleh Pengerusi Kelab Lions, Keith Wong dan menyaksikan penyertaan seramai 38 orang.

Peserta yang ikut serta antaranya 15 orang ahli Kelab Lions Belait serta anggota keluarga mereka, 12 orang dari KABC Contractors & Suppliers Sdn Bhd, empat ahli Kelab Rotary Belait, tiga ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait dan empat perwakilan dari Pusat Insani, Seria.

Para peserta berjalan sepanjang pesisir pantai Kuala Belait untuk mengutip sampah dan barangan terbuang dengan sejumlah 1,000kg sampah telah dikumpulkan.

Kelab berkenaan juga dijadualkan untuk menjalankan beberapa aktiviti dalam masa terdekat, seperti Pertandingan Poster Keamanan Antarabangsa Lions yang akan diadakan di Sekolah Chung Ching, Seria.

Para peserta bergambar ramai bersama sampah yang dikutip dalam kempen berkenaan.
Para peserta berjalan sepanjang pesisir pantai sambil mengutip sampah semasa kempen berkenaan.