Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 13 Okt – Kumpulan Libasan Amal yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Birau dan kawasan sekitarnya telah meneruskan kempen bergotong-royong di Sekolah Rendah Bakiau, di sini, pagi tadi.
Turut serta dalam kempen tersebut ialah Ketua Kampung Birau, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim dan Guru Besar Sekolah Rendah Bakiau, Dayang Mariana binti Abdullah Maduan.
Salah seorang ahli MPK Birau, Haji Ibrahim bin Haji Ratu yang juga selaku Setiausaha Kumpulan Libasan Amal menjelaskan rata-rata ahli Kumpulan Libasan Amal adalah terdiri daripada pesara kerajaan dalam lingkungan usia 55 tahun yang masih lagi sihat dan berminat mengikuti kerja-kerja amal bagi mengisi masa lapang mereka.
Beliau menjelaskan, ahli-ahli Kumpulan Libasan Amal juga sangat bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk melakukan kerja-kerja amal seperti ini dan berharap kerja-kerja tersebut dapat membantu mereka yang memerlukan.
“Insha-Allah, kami akan meneruskan aktiviti membuat kerja-kerja amal seperti membersihkan luar kawasan tidak kira di luar kampung asal pihak berkenaan memerlukan kami,” jelas Haji Ibrahim lagi.
Kerja-kerja amal tersebut melibatkan kerja-kerja memotong rumput dan kerja-kerja kebersihan di kawasan sekolah berkenaan. Dalam pada itu, Dayang Mariana ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Kampung Birau bersama ahli Kumpulan Libasan Amal di atas usaha dan kerja amal yang telah dibuat di sekolah tersebut.