Kempen Nissan Brunei kumpul 84 pain darah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Sebanyak 84 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen menderma darah ‘Nissan Blood Drive’ yang dianjurkan oleh Nissan Brunei di Bilik Pameran Nissan, Beribi, hari ini.

Nissan Brunei telah bekerjasama dengan Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk mengadakan kempen yang bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang tersebut dengan tujuan untuk mengalu-alukan masyarakat dan orang ramai supaya sama-sama membantu untuk menambahkan lagi simpanan darah.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Nissan Brunei, Dayang Julia Farhanah binti Haji Mohd Yusof menjelaskan bahawa mereka sungguh teruja untuk menganjurkan acara seumpama ini dalam menambahkan lagi jumlah bilangan peserta bagi mengambil bahagian dalam kempen derma darah untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa dan insan yang memerlukan seperti bagi pesakit penghidap kanser dan yang lainnya.

Nissan Brunei juga akan menganjurkan lebih banyak aktiviti yang meriah tidak lama lagi dan orang ramai bolehlah mengikuti media sosial menerusi akaun Facebook dan Instagram mereka untuk mengetahui maklumat terkini.

Nissan Brunei bekerjasama dengan Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi membantu menambahkan lagi simpanan darah.