Kempen pembersihan di pasar dan tamu di daerah Temburong

Oleh Ak Zaki Kasharan

TEMBURONG, 19 APRIL – Dalam usaha bagi mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam serta berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan bandaran dan jabatan-jabatan daerah telah mengadakan Kempen Pembersihan Premis Pasar, Gerai dan Tamu di Seluruh Negara.

Antara yang menjadi tumpuan semasa kempen pembersihan kelmarin ialah Tamu Aneka Temburong dan Pasar Pekan Bangar Daerah Temburong yang yang telah dikendalikan bersama oleh agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Bandaran, Jabatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan serta para sukarelawan.

Ahli-ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dan ahli-ahli Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) adalah antara sukarelawan yang turut serta menjayakan kempen berkenaan.

Pesuruhjaya Pengurusan Risiko dan Keselamatan PPNBD, Haji Junaidi bin Haji Gunong ketika ditemui pihak media menjelaskan bahawa ketika negara memerangi penularan wabak COVID-19, PPNBD juga tidak ketinggalan dalam sama-sama membantu pihak kerajaan memerangi wabak berkenaan sejak bulan lepas lagi.

Kali ini ahli-ahli PPNBD turut menyumbangkan tenaga dan keringat dalam kempen pembersihan bukan sahaja yang diadakan di premis pasar, gerai atau tamu Daerah Temburong tetapi juga di daerah lainnya.

Lebih 20 orang ahli PPNBD terlibat pada kempen pembersihan di Daerah Temburong kelmarin jelas Haji Junaidi lagi.

Kempen berkenaan adalah inisiatif KHEDN dalam memastikan persekitaran yang bersih dan selamat manakala saranan dari Kementerian Kesihatan menyeru supaya penjagaan kebersihan sepanjang masa juga adalah menjadi sandaran untuk kempen ini dilaksanakan.

Juga hadir pada kempen kebersihan di Daerah Temburong tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Khairul Shahrul bin Haji Duahim bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Daerah Temburong yang lain.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah telah meneruskan kempen pembersihan di premis pasar, gerai dan tamu seluruh negara dan kelmarin, pembersihan membabitkan kawasan tamu di Daerah Temburong dan di pasar Jerudong di ibu negara. – Gambar oleh AK Zaki Kasharan
JBP dan agensi kerajaan yang lain semasa kempen pembersihan di Tamu Aneka Temburong dan di Pasar Pekan Bangar Daerah Temburong.