Kempen pembersihan di Pasarneka Kuala Belait

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 APRIL – Kempen Pembersihan Premis Pasar/Gerai/Tamu di Seluruh Negara telah diteruskan lagi hari ini di Pasarneka Kuala Belait dengan melibatkan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria serta pelbagai kumpulan dan agensi.

Diadakan bermula awal pagi, kempen menyaksikan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), serta ahli-ahli Sukarelawan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang menyumbangkan tenaga dan masa dalam membersihkan kawasan premis pasarneka berkenaan.

Turut hadir menyaksikan dan menyertai kempen tersebut ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim.

Kempen pembersihan yang telah bermula pada 15 April lalu itu bertujuan ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam, serta berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Pembantu Ketua Pegawai Penyelaras 1 (Daerah Belait), Haji Abdul Afiq bin Zainuddin yang mengetuai Sukarelawan Belia semasa kempen tersebut menyatakan bahawa usaha-usaha berkenaan bukan sahaja bermanfaat dalam menangani pandemik COVID-19 malah mengingatkan semua orang mengenai kepentingan kebersihan.

Beliau juga menekankan bahawa kempen seumpamanya akan terus dijalankan kerana usaha memerangi virus berkenaan adalah perjuangan yang panjang dan sukan yang boleh diatasi dengan penglibatan semua orang dalam mengamalkan kebersihan peribadi.

ATAS & BAWAH: Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bekerjasama dengan JBP, NDMC, PPNBD serta ahli-ahli Sukarelawan Belia ketika membersihkan kawasan premis pasarneka berkenaan.