Kempen pembersihan gerai makan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi langkah-langkah kewaspadaan dan membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa jabatan berkenaan telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mensanitasi ke atas aset-aset di bawah kawalan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria khususnya tempat-tempat yang sering dan menjadi tumpuan kunjungan orang ramai.

Kerja-kerja pembersihan dan mensanitasi itu adalah salah satu usaha dan inisiatif jabatan dalam sama-sama menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang ramai dan peniaga-peniaga khususnya di bangunan-bangunan di bawah kawalan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dalam tempoh penularan wabak COVID-19.

Di samping itu, ia juga adalah sebagai persediaan bagi Fasa Peralihan bagi pembukaan premis-premis perniagaan atau pengemaskinian operasi perniagaan yang akan bermula pada 19 November nanti.

Pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan mensanitasi ini akan melibatkan dua buah bangunan gerai makan di bawah kawalan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria yang sering menjadi tumpuan orang ramai yang akan diadakan selama dua hari berturut-turut iaitu di Bangunan Gerai Seri Selera Seria pada 17 November dan seterusnya di Bangunan Bunga Simpur Kuala Belait pada 18 November.

Kerja-kerja pembersihan dan mensanitasi berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara pembersihan mengikut garis panduan daripada Kementerian Kesihatan.

Pekerja menjalankan kerja-kerja mensanitasi Bangunan Gerai Seri Selera Seria kelmarin. – Gambar oleh Daniel Lim

Sehubungan itu, sepertimana juga merujuk garis pandu langkah-langkah pembukaan semula premis perniagaan atau pengemaskinian operasi perniagaan termasuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan semasa Fasa Peralihan di dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 Kebangsaan, para peniaga di Bangunan Gerai Seri Selera Seria dan Gerai Bunga Simpur hendaklah memastikan semua pekerja dan kakitangan telah divaksin sepenuhnya dengan menerima vaksin lengkap dua dos dan hendaklah juga menyediakan pelan kesinambungan perniagaan (BCP) untuk memastikan premis gerai kekal beroperasi.

Selain itu, mereka juga disarankan untuk melaksanakan ujian Antigen Rapid Test (ART) dengan mengikuti Garis Panduan ART yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Para peniaga dan pengunjung juga diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam sama-sama menjaga kebersihan di kawasan-kawasan tersebut pada setiap masa dan dinasihatkan supaya sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, antaranya sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka apabila memasuki bangunan-bangunan berkenaan, mendaftar BruHealth dan mengimbas kod QR BruHealth serta mematuhi pe-raturan dan garis pandu yang ditetapkan semasa tempoh Fasa Peralihan nanti.