Kempen pembersihan masjid di seluruh negara

Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Negara Brunei Darussalam akan melaksana Fasa Peralihan pada 19 November di mana beberapa fasiliti akan dibukakan kepada orang ramai termasuk tempat-tempat ibadah seperti masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara.

Sebagai langkah persediaan pembukaan masjid dan surau-surau serta balai ibadat bermula subuh hari Jumaat, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah memulakan kerja-kerja pembersihan mulai hari ini.

Usaha pembersihan meliputi kerja-kerja pembersihan luar dan dalam bangunan masjid, kerja mensanitasi dan menyusun tanda-tanda bagi penjarakan saf-saf telah dilaksanakan oleh pegawai dan petugas masjid dengan kerjasama ahli jawatankuasa (AJK) takmir dan belia masjid serta syarikat-syarikat perkhidmatan pembersihan.

Kerja-kerja pembersihan yang sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa juga termasuk pembersihan semua tombol dan pemegang pintu; pembersihan ruang sembahyang, pembersihan permukaan-permukaan seperti rak-rak, tiang-tiang dan sebagainya serta pembersihan tandas dan tempat berwuduk dengan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Selain itu, KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid telah pun mengaturkan kerja-kerja pembersihan masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara mengikut jadual yang disediakan oleh pihak masjid.

Sebagai langkah persediaan menjelang fasa peralihan, kerja-kerja pembersihan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat telah mula dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama di seluruh negara dengan kerjasama jawatankuasa takmir masjid dan belia masjid serta syarikat-syarikat perkhidmatan pembersihan. – Gambar oleh Daniel Lim
Haji Burhanuddin bergambar bersama ahli jawatankuasa takmir semasa kempen pembersihan di Masjid Kampung Birau.
Pekerja membersihkan Masjid RPN Kampung Pandan.
Pekerja membersihkan Masjid RPN Kampung Pandan.

Di Tutong, AJK Takmir Masjid Kampung Birau, Tutong juga telah mengadakan kempen kebersihan yang sama di masjid berkenaan.

Hadir semasa kempen tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Birau/Luagan Timbaran/Kebia, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim selaku penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Birau.

Bagi memberkati acara, bacaan doa telah dibacakan oleh imam masjid, Awang Ahmad bin Haji Abdul Razak.

“Alhamdulilah, kempen kebersihan dapat dijalankan dengan jayanya oleh ahli-ahli jawatankuasa takmir serta penduduk Kampung Birau. Ia sebagai langkah awal sebelum pembukaan semula masjid yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini,” ujar Haji Burhanuddin.

Manakala di Daerah Belait, AJK takmir dan belia masjid bersama kakitangan dari Perkhidmatan Pembangunan Alam Sekitar juga berganding bahu membersihkan dan mensanitasi kawasan masjid yang terletak di seluruh Belait. Menyelia kerja-kerja pembersihan berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu, yang mengunjungi dua masjid iaitu Masjid RPN Kampung Pandan dan Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Bercakap kepada salah seorang pegawai hal ehwal masjid di Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin, beliau menjelaskan kerja-kerja pembersihan dijalankan untuk memastikan keselamatan pengunjung masjid, surau dan balai ibadat apabila fasa peralihan bermula pada 19 November.

“Alhamdulilah, kebanyakan masjid di seluruh negara telah memulakan kempen pembersihan hari ini. Menjelang pembukaan semula pada 19 November, kami menasihatkan jemaah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata Haji Haslan. Beliau juga menggesa pengunjung memakai pelitup muka dan membawa sejadah mereka sendiri, sudah lengkap vaksinasi dan memastikan me-reka menggunakan aplikasi BruHealth untuk mengimbas kod QR. “Selain itu, kami juga akan menjalankan pemeriksaan suhu badan, mensanitasi tangan pengunjung sementara mengamalkan penjarakan sosial.”

Haji Haslan menambah memandangkan jumlah jemaah terhad dibenarkan mengerjakan solat di masjid, terdapat juga rancangan untuk membuka tempahan menerusi aplikasi BruHealth. “Ini adalah untuk memastikan tempat ibadat berupaya mematuhi SOP dalam mengehad jumlah jemaah memasuki premis semasa fasa peralihan.”

Masjid lain turut dibersihkan di Daerah Belait termasuk Masjid Kampung Sungai Teraban, Masjid Pekan Seria, Masjid Zainab, Masjid Kampung Sungai Liang dan beberapa masjid, surau dan balai ibadat di kawasan pedalaman Belait.