Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kempen pilihan raya Filipina bermula di tengah pandemik

    MANILA, 8 FEB – Kempen pilihan raya presiden di Filipina secara rasmi  bermula hari ini, tiga bulan sebelum pengundian dijadualkan berlangsung pada 9 Mei bagi memilih pemimpin baharu yang akan menerajui negara Asia Tenggara itu untuk tempoh enam tahun akan datang, lapor Xinhua.

    Sekurang-kurangnya 67.5 juta rakyatnya telah daftar untuk mengundi, termasuk 1.8 juta pengundi dari luar negara. 

    Mereka juga akan memilih naib presiden, kira-kira 300 ahli perwakilan, dan lebih 18,000 wakil dalam kerajaan tempatan. Sebanyak 10 calon presiden dan sembilan calon naib presiden telah dicalonkan. 

    Berdasarkan tinjauan, Ferdinand Marcos Jr., 64, anak lelaki kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos, dilihat mendahului dalam saingan presiden.

    Ia diikuti rapat Naib Presiden Maria Leonor Robredo berusia 56 tahun, Datuk Bandar Manila Francisco Domagoso, Senator Manny Pacquiao, Senator Panfilo Lacson, dan lima yang lain.
    Di Filipina, presiden dan naib presiden dipilih secara berasingan. 

    Gambar yang diambil pada 8 Disember 2021 menunjukkan para penyokong calon Bongbong Marcos, anak lelaki mendiang diktator Filipina Ferdinand Marcos, menunggang motosikal dengan memaparkan poster-poster semasa perarakan di sepanjang sebatang jalan di Bandar Quezon, subbandar Manila. – AFP

    Datuk Bandar Davao City Sara Duterte-Carpio, 43, anak perempuan kepada Presiden Rodrigo Duterte, akan bertanding jawatan naib presiden.

    Sementara itu, Duterte dengan tempoh perkhidmatannya yang akan tamat pada Jun ini, masih belum menyatakan sokongan kepada mana-mana calon presiden.

    Seperti dalam pilihan raya lalu, beberapa calon sudah mula berkempen di televisyen, media sosial dan radio, meskipun sebelum kempen bermula.

    Seawal Oktober, calon presiden mula merentasi kepulauan menyampaikan hadiah dan wang tunai, melancarkan promosi di TV dan program pengiklanan di media sosial. 

    Nama dan gambar calon terpampang di papan iklan gergasi sepanjang lebuh raya utama.

    Tidak seperti dahulu, calon-calon tidak lagi dibenarkan berkempen di bandar dan pekan, mendendangkan lagu cinta, memeluk bayi, dan menari di atas pentas bagi meraih undi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengenakan sekatan bagi membendung penularan COVID-19, menghalang ahli politik berkempen rumah ke rumah, berkumpul, berjabat tangan, berpelukan, mencium, atau sebarang aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...