Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Kumpulan Dinamika di bawah Program Eksekutif Muda, baru-baru ini, telah.
meneruskan lagi projek khidmat masyarakat ‘Charaton’ dengan mengadakan ‘Kempen Pengagihan, Pengumpulan dan Pelupusan (PPP) Bahan-bahan Mengandungi Ayat-ayat Al-Quran yang Tidak Lagi Digunakan’ di Masjid Utama Mohammad Salleh.
Projek tersebut merupakan kerjasama dengan Pejabat Hal Ehwal Ugama, Daerah Temburong; Unit Penghapusan Kira-kira, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Kempen diadakan kerana kurangnya pengetahuan orang awam mengenai cara-cara pelupusan bahan-bahan dan kepingan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran dengan tepat. Bahan-bahan tersebut seringkali didapati dibuang ke dalam tong sampah atau di merata tempat.
Antara aktiviti yang dijalankan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar adalah taklimat mengenai ‘Kempen PPP’ yang disampaikan oleh wakil Kumpulan Dinamika, Awang Muhammad Adlan Aziz bin Haji Yussop.
Taklimat juga disampaikan oleh wakil Unit Penghapusan Kira-kira, Jabatan Pentadbiran, Awang Mohd Ali bin Haji Mohd Yamin yang menerangkan mengenai ‘Tatacara Pelupusan Ayat-ayat yang Mengandungi Ayat-ayat Al-Quran di Negara Brunei Darussalam’.
Beberapa pihak telah dijemput pada majlis tersebut yang terdiri daripada imam-imam dari beberapa buah masjid dan sekolah di Daerah Temburong bagi sama-sama mendengarkan penerangan taklimat mengenai kempen berkenaan.
Selain itu juga, kotak-kotak yang telah diagihkan akan diwakafkan bagi kegunaan masa akan datang.
Khidmat masyarakat berkenaan juga diteruskan lagi dengan ‘Bengkel Kesempurnaan Solat’ yang dilaksanakan oleh Awang Muhammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit dan juga ‘Klinik Al-Fatihah’ yang dilaksanakan oleh Awang Muhammad Adlan Aziz bagi jemaah masjid dan juga Muslimah masjid di Pekan Bangar.
Antara objektif Kempen PPP adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai tatacara pelupusan bahan-bahan atau kepingan mengandungi ayat-ayat Al-Quran yang tidak lagi digunakan atau sudah rosak di negara ini.
Selain itu, menerusi kempen tersebut, ia juga bertujuan bagi mengagihkan kotak-kotak PPP ke beberapa buah masjid di Daerah Temburong khas untuk orang awam meletakkan bahan-bahan atau kepingan mengandungi ayat-ayat Al-Quran yang tidak lagi digunakan atau sudah rosak untuk dilupuskan yang mana ia telah pun diadakan pada November 2017 sebagai pelaksanaan awal kempen berkenaan.