Kempen rasuah China hukum 1.2 juta orang

BEIJING, 10 Jan – Hampir 1.2 juta orang telah dihukum dalam kempen anti-rasuah berterusan di China, kata seorang pegawai kanan, berjanji kerajaan akan memperketat kempen yang dikatakan oleh sesetengah orang sebagai penyingkiran politik.

Sebagai sebahagian daripada kempen, hampir 2,600 pelarian telahpun diekstradisi atau dihantar pulang, dan aset bernilai 8.6 bilion yuan telah ditemui, kata Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin (CCDI) dalam satu kenyataan di laman web pertubuhan semalam.

China mempunyai perjanjian ekstradisi dengan 48 buah negara pada keseluruhannya, termasuk Sepanyol, Itali dan Perancis, yang memulangkan seorang pelarian kepada China pada September lalu.

Bercakap pada persidangan akhbar semalam, Luo Dongchuan, pegawai kanan CCDI berjanji kempen akan diteruskan, berkata kerajaan harus “mengekal momentum penghapusan ke atas rasuah,” menurut satu transkrip taklimat media yang disiarkan di laman web kumpulan.

Namun pada tahun 2016, jumlah kes rasuah yang dilaporkan kepada pengawas merosot untuk kali pertama sejak 2012, kata seorang lagi pegawai, Xiao Pei, tanpa memberikan angka yang khusus.

Beliau berkata daripada kes pada 2016, 57,000 merupakan pengakuan sendiri.

Kira-kira 410,000 pegawai, 76 di antara mereka mempunyai jawatan pada peringkat kementerian atau lebih tinggi, dihukum pada 2016, lapor akhbar China Daily semalam. – AFP