Kempen RCB kutip 88 pain darah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 26 JULAI – Sebanyak 88 pain darah telah berjaya dikutip dalam kempen derma darah yang dianjurkan oleh Kelab Rotary Belait (RCB) yang diadakan di Dewan Serbaguna Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Kuala Belait, semalam.

Seramai 108 orang telah tampil untuk menyertai kempen berkenaan dengan dialu-alukan oleh Presiden RCB, Henritta Hiew bersama ahli-ahli dan sukarelawan kelab berkenaan.

Ketika ditemui, Henritta Hiew menjelaskan bahawa kempen itu diadakan dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Kuala Belait dan Tabung Darah, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Menurut beliau lagi, kempen turut mendapat sokongan daripada Aewon Brunei dan Restoran Buccaneer, Kuala Belait yang menaja pelbagai hadiah dan hidangan ringan yang disajikan sepanjang kempen itu.

Daripada jumlah yang hadir, hanya 88 yang layak untuk menderma darah dan diberikan cenderahati sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka.

Di samping itu, sijil-sijil juga diberikan kepada perwakilan daripada pelbagai agensi dan kumpulan yang menyertai kempen tersebut, yang disampaikan oleh presiden RCB.

Antara yang menderma darah pada kempen anjuran RCB di Dewan Serbaguna Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Kuala Belait.