Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Kempen selamat tenggiling

    GBARPOLU, LIBERIA – Menggenggam senapang patah di hutan utara Liberia, Emmanuel berkata 10 anaknya boleh menerima pendidikan disebabkan senapangnya.

    Lelaki berbadan kecil, dengan nama penuhnya tidak disiarkan AFP, tidak menghiraukan daging haiwan liar buruan dan memperoleh pendapatannya dengan menangkap tenggiling atau kera di hutan sekitarnya.

    Pada musim kering, Emmanuel menunggu waktu malam dan seterusnya berjalan ke hutan bersama senapang dan parangnya.

    Tenggiling, haiwan mamalia bersisik dan memakan serangga dan biasanya mempunyai saiz sebesar kucing dewasa, kebanyakannya aktif pada waktu malam, menyenguk-nyengak mencari semut dan anai-anai dalam kayu mati.

    Spesies itu semakin terancam di seluruh dunia, namun masih merupakan sajian istimewa di negara Afrika Barat itu.

    Anggota Pusat Perlindungan Hidupan Liar Libassa memberikan air kepada tenggiling yang baru diselamatkan di pinggir Bandar Monrovia. – AFP
    Sisik tenggiling yang dijual di pasar pinggir bandar Bopolu. – AFP

    Sisik haiwan itu – memiliki keratin, seperti kuku manusia – juga amat berharga bagi pengguna di luar negara disebabkan dipercayai memiliki khasiat ubat, dijual pada harga amat tinggi.

    “Kami membunuhnya, kami memakannya,” kata Emmanuel, di kampung Gharpolu, perjalanan yang mengambil masa lima jam dari utara ibu negara Monrovia di sepanjang jalan kotor.

    “Seterusnya sisik akan kami jual,” tambah pemburu itu. “Tidak adanya pilihan lain.”

    Dipercayai haiwan yang paling diseludup di dunia, tenggiling hanya ditemui di hutan di Asia dan Afrika, namun jumlahnya semakin berkurangan disebabkan tekanan daripada kegiatan pemburuan.

    Tenggiling Asia pernah memenuhi permintaan kukuh di negara Asia Timur seperti China dan Vietnam, di mana sisik haiwan itu digunakan dalam ubat-ubatan tradisional.

    Namun Afrika menjadi sumber utama perniagaan tersebut dari tahun 2013, menurut pejabat dadah dan jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNODC, dalam peralihan yang mungkin didorong oleh kemerosotan jumlah tenggiling di Asia.

    Negara seperti Liberia serta Nigeria, Cameroon dan Guinea, semuanya merupakan pasaran asal.

    Phillip Tem Dia, yang bekerja untuk Flora and Fauna International, pertubuhan bukan kerajaan di Liberia, berkata pembunuhan tenggiling ‘benar-benar meningkat’ sejak bermulanya perniagaan sisik.

    Liberia merupakan sasaran utama untuk penyeludup. Lebih 40 peratus daripada negara dilitupi hutan hujan dan pematuhan undang-undang adalah lemah.

    Ia juga masih berpulih daripada perang saudara kejam dari 1989 hingga 2003, dan krisis Ebola pada 2014-2016.

    Dengan penyokong pemuliharaan menyuarakan kebimbangan, kerajaan Liberia telah mengharamkan pemburuan dan penjualan tenggiling.

    Namun ia bergelut dengan tradisi beberapa generasi rakyatnya yang memakan haiwan tersebut.

    Data yang tidak lengkap juga menghambat usaha penyokong pemuliharaan. Tenggiling ialah haiwan yang suka bersendirian, dan jumlahnya di hutan masih menimbulkan misteri.

    “Terdapat jurang yang besar dalam pemahaman kami,” kata rebecca Drury, ketua perniagaan hidupan liar FFI.

    Bagaimanapun, bukti yang ada mencadangkan kemerosotan mendadak dalam jumlah.

    Dikenali sebagai ‘pemakan semut’ di Liberia sempena makanan kegemarannya, tenggiling berjalan tergedek-gedek dan tidak mempunyai rahang atau gigi.

    Haiwan itu menggulung dirinya menjadi bola seperti landak kecil apabila diancam. Sisiknya memberikan perlindungan.

    Namun manusia boleh mengangkat tenggiling dan membawa pergi haiwan itu.

    “Tenggiling adalah haiwan amat sensitif,” menurut Julie Vanassche, pengarah Pusat Perlindungan Hidupan Liar Libassa di Liberia, berhampiran Monrovia, yang menawarkan khidmat memulihkan tenggiling yang diselamatkan.

    Kebanyakannya mati akibat tekanan berada dalam kurungan, meskipun dijaga siang dan malam.

    Tempat perlindungan itu telah melepaskan 42 tenggiling di hutan sejak membuka pintunya pada 2017, tetapi jumlah tersebut mungkin tidak memberikan kesan.

    Satu kajian pada 2020 oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa AS menganggarkan di antara 650,000 dan 8.5 juta tenggiling diusir dari hutan di antara 2009 dan 2020.

    “Walau bagaimanapun, jumlah tersebut memeranjatkan,” kata kajian, menyenaraikan pembasmian hutan, penggunaan daging haiwan buruan dan perniagaan sisik sebagai sebab-sebab di sebalik kemerosotan dalam jumlah tenggiling.

    Menurut UNODC, rampasan sisik tenggiling juga telah meningkat sepuluh kali ganda sejak 2014, mencadangkan perkembangan pesat dalam perniagaan itu dunia. Pada Julai, China merampas dua tan sisik yang diseludup, misalnya.

    Vanassche, warga Belgium dengan tatu tenggiling di lengannya, berkata masa depan ‘nampak suram’.

    “Kami perlu bertindak cepat – ia hampir berakhir,” katanya.

    Di luar sebuah pasar di Monrovia, seorang ejen perhutanan mencurah minyak gasolin di atas timbunan daging haiwan liar yang telah dirampas, dan menyalakan mancis.

    Longgokan bangkai monyet, dan sekurang-kurangnya seekor tenggiling, terbakar ketika wanita berkumpul untuk memaki hamun puluhan ejen daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Perhutanan Liberia.

    Mereka baru sahaja menjalankan salah satu serbuan pertama mereka di pasar di ibu negara, selepas kempen menambah kesedaran bertahun-tahun lamanya mengenai undang-undang hidupan liar.

    Liberia mengharamkan penjualan daging haiwan liar pada 2014 berikutan krisis Ebola.

    Pada 2016, ia juga mengharamkan pemburuan tanpa lesen spesies dilindungi, mengenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum AS$5,000 ke atas pesalah.

    Ejen FDA – yang berkata mereka komited untuk menghentikan perniagaan daging haiwan liar – nampaknya tidak bersimpati dengan peniaga pasar, yang kebanyakannya terdiri daripada wanita.

    “Spesies dilindungi kami sedang dibunuh setiap hari oleh pemburu,” kata ketua unit penyeludupan FDA Edward Appleton, menambah warisan semula jadi negara telah diancam.

    Namun Comfort Saah, peniaga pasar, nampak tidak keruan ketika barang nia-ganya dibakar di tepi jalan. Dia berkata dia telah kehilangan hampir $3,000 dalam serbuan itu.

    Jumlah itu adalah besar bagi sebuah negara di mana 44 peratus daripada penduduk bergantung hidup kurang daripada AS$1.90 sehari, menurut angka Bank Dunia.

    “Bagaimanakah kami akan meneruskan hidup?” kata Saah. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...