Kempen SMS Brunei prihatin dilancar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Kempen kutipan sumbangan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-yatim Yatim telah dilancarkan kelmarin dan akan berjalan selama tiga bulan hingga 31 Julai depan.

Kempen berkenaan telah dilancarkan semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Semasa sidang media itu, beliau menjelaskan bahawa projek tahunan yang bermula pada 2005 itu diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dan Progresif Cellular Sdn Bhd untuk memudahkan orang ramai menghulurkan derma bagi membantu anak-anak yatim di negara ini.

Sehingga kini, ia telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan semua kutipan yang diterima disumbangkan kepada Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM.

Pada tahun lepas, SMS Brunei Prihatin berlangsung selama 40 hari (2 Mei hingga 10 Jun) telah berjaya mengumpulkan derma sebanyak $106,448.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menderma melalui perkhidmatan SMS berkenaan bolehlah menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif.

Sidang media turut memaklumkan mengenai penyerahan derma kepada anak-anak yatim secara pandu lalu di keempat-empat daerah yang akan bermula esok.

KKBS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat kempen SMS Brunei Prihatin dan penyerahan derma berkenaan iaitu RTB, Pasukan Polis Diraja Brunei, jabatan daerah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), DST, Progresif, para sukarelawan serta rakan-rakan media.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah wakil RTB iaitu Pemangku Timbalan Pengarah (Kemajuan) RTB, Cheong Chee Keong; wakil Ketua Pegawai Eksekutif,
Progresif Sdn Bhd, Dayang Nursyahrain binti Haji Matassan dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh serta rakan-rakan media.

Dayang Saidah ketika mempengerusikan sidang media pelancaran SMS Brunei Prihatin Untuk
Tabung Anak-anak Yatim di KKBS, Sabtu lalu.