Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Sejumlah $118,866 telah berjaya dikumpulkan dalam Kempen Kutipan Sumbangan melalui SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi tahun ini.
Hasil kutipan berkenaan telah diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof pada majlis yang berlangsung di Bangunan KKBS, di sini, hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak $110,196 adalah hasil kutipan daripada pelanggan DST yang telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Hussein.
Manakala itu, sejumlah $8,670 pula merupakan hasil kutipan daripada pelanggan Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan diserahkan oleh Pengurus Perhubungan Korporat Kerajaan syarikat berkenaan, Dayang Normah binti Ahmad.
Sementara itu, tabung berkenaan juga menerima derma wang tunai berjumlah $20,000 hasil kutipan daripada para pegawai dan kakitangan DST.


SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh JAPEM, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST dan Progresif.
Projek itu bermula pada tahun 2005 dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan semua kutipan yang diterima disumbangkan kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.
Kempen kutipan derma melalui SMS Brunei Prihatin berjalan selama 45 hari pada tahun lalu bermula 8 Jun 2016 hingga 22 Julai 2016.
Kutipan derma melalui perkhidmatan pesanan ringkas itu adalah sebagai alternatif bagi orang ramai untuk menghulurkan derma kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.