Kempen tarik 71 penderma darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Dalam usaha untuk memberi bantuan dan sebagai
khidmat bakti kepada masyarakat, seramai 71 orang telah berjaya menderma darah dalam kempen bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020 yang berlangsung di Pandu Lalu McDonald’s, Jerudong, kelmarin.

Kempen menderma darah tahunan itu dianjurkan oleh Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan McDonalds’ Brunei yang mana ia diadakan dalam dua sesi dengan sesi pertama di Pandu Lalu McDonald’s Jerudong dan sesi kedua akan diadakan pada 27 Jun nanti di Pandu Lalu McDonald’s Lambak.

Kempen itu merupakan kali ke-8 dianjurkan oleh BGC dengan matlamat untuk menjana kesedaran dan menanam sikap tanggungjawab dalam kalangan individu untuk meng-hulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan menderma darah.

Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial syarikat untuk menanamkan semangat peka, kasih dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, kempen meneruskan lagi usaha serta bantuan pihak syarikat kepada Pusat Pendermaan Darah untuk menambahkan stok darah di pusat berkenaan menerusi kempen menderma darah tahunan syarikat itu.

Bermula pukul 9:30 pagi hingga 4 petang, kempen berkenaan telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.

Pada masa yang sama, dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencegah penularan COVID-19, sistem tempahan telah dilaksanakan untuk memastikan tidak berlaku kesesakan dan hanya lima orang secara maksimum dapat dibenarkan untuk menderma darah bagi setiap 30 minit.

Langkah-langkah pengawalan ketat dan garis panduan Kementerian Kesihatan dilaksanakan semasa kempen menderma darah itu untuk memastikan keselamatan kakitangan dan penderma darah terus diberikan keutamaan.

Bagi menghargai sumbangan para penderma semasa kempen itu, BGC turut memberikan baucar makanan McDonald’s secara percuma kepada mereka.

Antara yang menderma darah semasa kempen di cawangan Pandu Lalu McDonald’s Jerudong. – Gambar oleh Muiz Matdani