Kempen terima sokongan ramai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Sebanyak 140 pek makanan berjaya dikumpulkan oleh Majlis Perundingan Mukim (MPM) Serasa dan Syarikat Pooman Group Sdn Bhd untuk diserahkan kepada Kempen Sumbangan Pandu Lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bagi meringankan bebanan mereka yang terjejas semasa musim penularan wabak COVID-19 ini.

Sumbangan Sentuhan Kasih anjuran MPM Serasa dan syarikat itu mengumpulkan barangan berupa makanan asasi seperti beras, gula, ubi kentang, minyak masak, susu manis dan lainnya.

Penyerahannya telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku pemangku Penghulu Mukim Serasa dan ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong kepada Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Turut hadir ialah Ketua Unit Sumbangan Pandu Lalu Sukarelawan Belia, Pengiran Mohammad Al Nizar Pengiran Azahari.

Dalam temu bual bersama Pemangku Ketua Kampung Kapok, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang berkata, sumbangan itu adalah atas usaha kedua-duanya untuk membantu pihak kerajaan dalam sama-sama memeduli mereka yang memerlukan.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed semasa menyerahkan sumbangan kepada Dr Siti Norkhalbi.

Menurutnya lagi, sumbangan itu merupakan kali pertama diadakan pada musim penularan ini, walau bagaimanapun, Sumbangan Sentuhan Kasih itu telah giat dijalankan sebelum ini seperti sumbangan semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada warga-warga yang kurang berkemampuan.

Pada majlis itu, Syarikat Pooman Group telah menyumbangkan 10 guni beras, 10 kotak ubi kentang, 10 botol minyak masak, 24 tin susu manis, 10 kotak mi segera, dan banyak lagi.

Sementara itu, Tajuddin Ahmad dan Mohd Taher dari Syarikat Pooman Group berkata, syarikat itu bersedia memberikan kerjasama dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam meringankan bebanan mereka yang memerlukan.

Pada musim pandemik ini, ramai yang terjejas dari segi pekerjaan, perniagaan terpaksa ditutup, dan sebagainya. Dengan adanya sumbangan itu, Insya-Allah, ia akan dapat membantu mereka.

Menurut Kumpulan Sukarelawan Belia Brunei pula, sumbangan pandu lalu itu telah menerima seramai 141 penyumbang sejak 9 sehingga 16 September.

Sumbangan Pandu Lalu itu adalah inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga Sukarelawan Belia Brunei yang diadakan di VIP Entrance, Holding Area, Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula 9 September yang lalu.

Kempen sumbangan berkenaan mula beroperasi 9 pagi hingga 2 petang setiap hari kecuali hari Ahad.

Objektif sumbangan pandu lalu ini adalah untuk menyediakan sebuah platform khusus untuk mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai yang berniat untuk membantu masyarakat yang terjejas ketika penularan wabak COVID-19 ini.