Wednesday, October 4, 2023
32.7 C
Brunei

    -

    Kempen vaksinasi besar-besaran demam kuning di Uganda

    KAMPALA, 9 JUN – Uganda pada Jumaat melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran untuk demam kuning yang menyasarkan sekurang-kurangnya 13.4 juta penduduknya, lapor Xinhua.

    Menteri Kesihatan Ruth Aceng berkata kempen itu akan diadakan di enam wilayah.

    “Kempen Vaksinasi Besar-besaran Pencegahan Demam Kuning akan diadakan dalam tiga fasa. Fasa I, yang kami lancarkan hari ini, akan dijalankan di enam wilayah meliputi 51 daerah,” katanya ketika melancarkan kempen itu di daerah Lira di utara Uganda.

    Beliau berkata peringkat kempen itu ditentukan oleh kekurangan vaksin demam kuning di seluruh dunia.

    “Bagaimanapun, kami bertuah sebagai sebuah negara apabila  diperuntukkan 13.4 juta dos yang cukup untuk fasa satu ketika hanya 55 juta dos tersedia di seluruh dunia.”

    Program vaksinasi itu akan berlangsung antara 9 hingga 13 Jun dan kementerian menyeru rakyat Uganda agar mengambil vaksin secara percuma dan selamat. Mereka yang berumur antara sembilan bulan dan 60 tahun layak menerima vaksinasi sekali seumur hidup.

    Menurut kementerian, demam kuning adalah penyakit virus yang ditularkan melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti. Antara gejalanya termasuk demam, sakit kepala, muntah, keletihan, sakit otot, loya, dan jaundis. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Penerbangan dibatalkan dan sekolah ditutup di Taiwan

    TAIPEI, 4 OKT - Penerbangan dibatalkan dan sekolah ditutup di beberapa bahagian di Taiwan pada hari ini ketika pulau itu bersiap sedia menghadapi angin...