Kempen vaksinasi dipergiat

Oleh SyahmiHassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKTOBER – Seramai 2,208 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin (10 Oktober).

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikannya statistik tersebut semasa sidang media pada hari ini di Kementerian Kesihatan.

“Ini bermakna, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, sebanyak 330,410 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 72.8 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Manakala, 211,609 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 46.7 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Menurut beliau, Daerah Brunei dan Muara telah mencatatkan jumlah penerima vaksin COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 354,094 suntikan.

Daerah Belait mencatatkan sejumlah 68,293 suntikan, diikuti dengan Daerah Tutong sebanyak 61,766 suntikan dan Daerah Temburong pula telah mencatatkan sebanyak 57,866 suntikan, menjadikan jumlah keseluruhan suntikan sejak 3 April 2021 kepada 542,019 suntikan.