Kemuda adakan sukan tahunan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Institut Kemuda, Bandar Seri Begawan telah mengadakan Festival Sukan Tahunan baru-baru ini bertempat di Stadium Padang Kebajikan, Berakas yang dihadiri oleh pihak pengurusan, pensyarah, kakitangan dan pelajar-pelajar institut berkenaan dari cawangan Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat dalam acara itu, sekali gus menyampaikan hadiah ialah Pengerusi Institut Kemuda, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Muhammad dan Pengarah Urusan Institut Kemuda Loo Mei Tim.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Agama, Perwakilan Pelajar Institut Kemuda, Mohammad Amirul Zaqwan bin Haji Ali Yunos.

Seterusnya acara diikuti dengan perbarisan lalu daripada pasukan keempat-empat buah rumah, iaitu Awang Budiman, Patih Tuba, Patih Berbai dan Damang Sari.

Festival Sukan Tahunan itu diisi dengan pelbagai acara dengan acara padang dan balapan dimulakan dengan larian 100 meter dan larian berganti-ganti. Sementara itu, pertandingan lain ialah corn hole, meniup tepung, makan makanan berikat benang dan tarik kalat yang menarik minat para penonton.

Bagi edisi tahun ini, Rumah Patih Tuba diangkat sebagai johan keseluruhan dan menerima trofi kejuaraan.

Pasukan Rumah Patih Tuba bergambar ramai semasa acara tersebut.