Kemudahan imigresen bagi rakyat China digantung sementara

KUALA LUMPUR, 27 JAN – Kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya berkuat kuasa serta merta.

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri semua kemudahan imigresen itu meliputi eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan 2019 novel koronavirus di China khususnya di wilayah Hubei tersebut dan ia berkuat kuasa serta merta.

Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan tersebut bersama pihak kerajaan China.

Sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus di China minggu lepas, kerajaan Malaysia telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jelas kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan turut mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan itu daripada merebak dengan meluas.

Kerajaan juga, menurut kenyataan itu, ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan koronavirus tersebut yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarkat umum.

Sementara itu menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, tidak ada pelancong dari Wuhan, China yang masuk ke Malaysia sejak 23 Januari lepas.

Beliau berkata, pada tarikh yang sama pihak berkuasa China mengisytiharkan ‘lockdown’ dan menghalang penduduk di Wuhan meninggalkan kawasan berkenaan berikutan wabak 2019 Novel Koronavirus.

“Bagi jumlah warga China yang masuk ke Malaysia sebelum 23 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mendapatkan maklumat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini.

Jelas Dzulkefly, setakat ini kes positif Koronavirus di Malaysia kekal empat, sementara kes ‘pending’ iaitu menunggu keputusan makmal ialah lima dan kesemuanya melibatkan warga China.

Daripada lima kes pending itu, dua di Langkawi, Kedah, dua lagi di Kuala Lumpur dan satu kes terbaharu di Bintulu, Sarawak, katanya lagi. – Bernama