Kemudahan Internet jadi pengubat rindu di Hari Raya bagi warga asing

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Walaupun Sambutan Hari Raya tahun ini berbeza dari tahun sebelumnya, tetapi dengan adanya kemudahan Internet dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan kerana tidak dapat bersua muka dan kunjung-mengunjungi keluarga dan sahabat.

“Dengan adanya kemudahan Internet seperti Zoom, WhatsApp dan kemudahan internat yang lain, kita dapat mengucapkan Selamat Hari Raya dan berbalas ucapan Hari Raya,” ujar Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko.

Beliau berkongsi pandangan beliau, dalam temu bual menerusi telefon, mengenai Sambutan Hari Raya tahun ini dalam pandemik COVID-19 di mana warga asing terutamanya umat Islam tidak dapat pulang ke tanah air untuk meraikan hari kemenangan bersama orang tersayang.

Tuan Yang Terutama seterusnya berkata, pada tahun-tahun lalu, pada Hari Raya pertama diadakan sembahyang bersama warga Indonesia di negara ini tetapi tahun ini ditiadakan bagi mematuhi peraturan dan saranan dalam mengawal penularan virus jangkitan COVID-19.

“Sambutan Hari Raya boleh dilaksanakan dengan menjaga dan mengekalkan penjarakan sosial dalam kalangan ahli keluarga saja,” tambahnya.

TYT Dr Sujatmiko berkata dengan adanya kemudahan Internet, kita masih dapat memberi ucapan Selamat Hari Raya dan berbalas ucapan Hari Raya.
Salah seorang warga Indonesia yang berada di negara ini, Ningse menyatakan bahawa tahun ini merupakan kali ketujuh beliau menyambut Hari Raya tanpa keluarga.
Rusdiyanto bersama dengan rakan-rakan sekerjanya.

Sementara itu, salah seorang warga Indonesia yang sempat ditemubual, Ningse dari Jawa Tengah menyatakan bahawa tahun ini merupakan kali ketujuh beliau menyambut Hari Raya tanpa keluarga.

Menurutnya, perasaan sedih itu ada tetapi dengan adanya teman-teman sekerja dapat mengurangkan kesedihan tersebut.

Manakala itu, bagi Mohd Soleh, ini adalah tahun kedua beliau sudah tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di Madura dan merasakan kesedihan walaupun ia berat untuk dihadapi tetapi disebabkan tugas, perasaan tersebut diketepikan buat seketika.

Perasaan sedih turut dirasakan oleh Rusdiyanto, 23, yang sudah tujuh tahun menyambut Hari Raya di perantauan disebabkan tugas.

Ini lebih-lebih lagi apabila waktu malam raya di mana takbir dilaungkan sebagai menyambut kedatangan Syawal setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Sambutan Hari Raya tahun ini juga berbeza dari tahun sebelumnya, di mana tahun ini raya disambut bersama rakan sekerja di rumah pekerja disebabkan COVID-19 ini.

“Walaupun begitu, sambutan masih dapat dirasakan walaupun dalam suasana yang sederhana di samping mengekalkan penjarakan sosial, raya kami di rumah pekerja masih dimeriahkan dengan hidangan kuih-muih,” tambahnya.