Kemudahan kimia Syria diserang

WASHINGTON, 15 April – Presiden Amerika Syarikat (AS) Do-nald Trump dan sekutunya, Britain dan Perancis semalam memuji serangan bersama mereka di Syria berhubung penggunaan senjata kimia oleh rejim itu dan mengingatkan Damsyik bahawa serangan baharu seumpama itu akan berhadapan dengan serangan bersenjata yang baharu.

Selepas beberapa jam, para sekutu menandakan kesungguhan mereka untuk kembali ke meja rundingan, dengan melancarkan satu usaha baharu di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat serangan senjata kimia di Syria.

Mereka telah mengedarkan satu draf resolusi kepada Majlis Keselamatan yang juga meminta bagi penghantaran bantuan kemanusiaan, menguatkuasakan satu gencatan senjata dan menuntut Syria untuk terlibat dalam rundingan damai yang dipimpin oleh PBB, menurut teks yang diperoleh oleh AFP.

Operasi tentera pada awal pagi, dengan menyasarkan tiga buah kemudahan senjata kimia, menerima kritikan daripada Rusia dan usaha Moscow untuk mengecam serangan itu di Majlis Keselamatan PBB telah menemui kegagalan.

Trump dan para sekutunya telah mengarahkan untuk melancarkan misi semalaman sebagai respons kepada serangan senjata kimia minggu lalu di sebuah bandar yang dikawal oleh pemberontak Douma yang menyebabkan lebih daripada 40 orang terbunuh.

Gambar menunjukkan sebuah pesawat pengebom B-1 Tentera Udara AS menerima bekalan bahan bakar daripada pesawat Stratotanker KC-135 milik tentera itu semasa operasi serangan ke atas kemudahan kimia di Syria, kelmarin. – AP

Washington percaya bahan kimia sarin dan klorin telah digunakan ketika serangan pada 7 April, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran AS kepada wartawan semalam.

Kedua-dua pemimpin rejim Syria Bashar al-Assad dan sekutu Rusia tidak mengaku bertanggungjawab.

Malah, Moscow turut mengecam ‘tindakan agresif’ perikatan Barat, tetapi belum lagi mengambil tindakan secara ketenteraan.

Duta AS Nikki Haley mengingatkan rakan sejawatannya di PBB bahawa walaupun misi itu dilancarkan dengan sekali gus, namun, ia tidak menghalang tindakan seterusnya ke atas Assad.

“Saya bercakap kepada presiden pada pagi ini dan dia berkata: “Jika rejim Syria menggunakan gas beracun itu sekali

lagi, AS bersedia untuk melancarkan serangan,” kata Haley pada mesyuarat tergempar di Majlis Keselamatan. – AFP