Oleh Norizan Murshid
KOTA KINABALU – Selain berfungsi sebagai sebuah bangunan pelancongan bagi memudahkan para pengunjung sama ada dari luar negara mahu pun pengunjung tempatan, Bangunan Pelancongan Sabah ini pada asalnya pernah dijadikan sebagai pejabat pencetakan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Audit, Pejabat Bandaran, Pejabat Daerah dan Pejabat Kehakiman. Bangunan bersejarah ini terletak di No 51, Jalan Gaya di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.
Di fahamkan bangunan ini adalah antara tiga bangunan yang terselamat dari serangan bom sewaktu berlakunya Perang Dunia Ke-2 pada tahun 40-an. Bangunan ini dibina pada tahun 1916. Dari tahun 1950-an sehingga tahun 1986, bangunan ini telah dijadikan Pejabat Pos. Bangunan ini telah dibaikpulih dan dijadikan secara resmi sebagai Bangunan Pelancongan Sabah bermula dari Januari 1991 dan kini menjadi Pusat Penerangan Pelancong. Oleh itu, jika anda berada di Kota Kinabalu, berikan sedikit waktu untuk mengunjungi bangunan bersejarah ini.
Tamu Ahad di Jalan Gaya
Tamu ini terletak di tengah-tengah bandar raya Kota Kinabalu di mana kebanyakan bangunan di sekitar tamu ini telah dibina lebih seratus tahun yang lalu. Malah sehingga ke hari ini, Jalan Gaya banyak menempatkan pejabat-pejabat peguam dan beberapa buah bank-bank ternama sama ada dari dalam negara dan luar negara.
Suasana di waktu petang di Jalan Gaya adalah detik yang indah dan tenang. Bila tiba hari minggu, Jalan Gaya meriah dengan Tamu Ahad yang bermula seawal jam 6.30 pagi hinggalah menjelang jam 1.00 tengah hari.
Pelbagai barangan keperluan harian dan barangan kraf tangan boleh didapati di Tamu Ahad. Agak menarik bilamana melihat pengunjung Tamu Ahad Jalan Gaya tidak hanya terdiri daripada warga tempatan yang berbilang bangsa malah para pelancongan dari dalam dan luar negeri turut sama ingin merasa kemeriahan. Namun apa yang pasti, Tamu Ahad yang telah tidak asing bagi warga Brunei Darussalam yang sering kali berkunjung ke Kota Kinabalu Sabah.

