CHA DAS CALDEIRAS – Setelah empat tahun gunung berapi meletus sehingga memusnahkan segala-galanya dalam laluannya di Lembah Cha Das Caldeiras, Cape Verde, jubin lantai di sebuah penginapan kecil yang dibina semula itu masih lagi panas untuk disentuh.
“Kami membina terlalu cepat tanpa menunggu lava disejukkan,” kata pemilik hotel, Marisa Lopes, berusia di awal 30an. Untuk bulan yang pertama, lantai di bilik tersebut sangat panas sehingga anda tidak dapat berjalan kaki ayam ketika melalui lantai-lantai ini.
Lopes merupakan salah satu daripada berpuluh-puluh usahawan yang terkurung dalam perkembangan ekonomi apabila gunung berapi Pico Do Fogo memuntahkan lava ke arah Cha Das Caldeiras, yang mempunyai penduduk sekitar 500 orang.
Nama kampung tersebut membawa maksud ‘Puncak Kebakaran’ dalam bahasa Portugis. Gunung berapi menjana sebahagian besar daripada produk domestik kasar masyarakat, menarik sehingga kira-kira 5,000 pelancong setiap tahun yang memerlukan katil hotel, makanan dan juga pemandu pelancong. Dianggarkan kira-kira 30 orang penduduk tempatan bekerja sebagai jurupandu di kawasan terpencil di Afrika Barat ini.
Gunung berapi yang terletak di kawasan itu telah meletus beberapa kali dan menurut sejarah, ia telah meletus kira-kira enam kali dalam 200 tahun yang lalu, memusnahkan segala-galanya, tanaman, rumah dan juga jalan raya.
Pada 23 November 2014, Lopes hanya mampu menyaksikan kerana Pico, hampir 2,900 meter tinggi, meletus selepas ‘tidur’ selama 19 tahun. Lava menenggelamkan asrama pelancongan, Casa Marisa dan selepas tiga bulan kemudian, dia telah membina bangunan yang baharu, sekali lagi di zon aliran lava tersebut. “Gunung berapi itu telah menghapuskan kediaman saya, kemudian saya membina yang lain pula, tanpa bangunan, pasti tidak akan ada pelancongan,” katanya kepada AFP.
Walaupun terdapat bahaya dan usaha kerajaan untuk menghalang aliran lava itu, penduduk Cha Das Caldeiras terus kembali ke kampung mereka. Selepas letusan terakhir, tentera telah mengalihkan aliran lava dan pihak kerajaan telah memberi bantuan makanan selama enam bulan selepas itu. Tetapi penduduk tempatan terus membina semula jalan raya dan bahan-bahan membina rumah serta hotel juga kelihatan berselerakan di kawasan itu, sekali lagi.
Ia adalah sebuah rumah
Cicilio Montrond berusia 42 tahun, juga berada di kawasan itu pada tahun 2014, melihat sendiri bagaimana lava gunung berapi itu melalui kawasan Pico Do Fogo yang membakar pokok buah-buahannya dan banyak lagi. Letusan itu tidak mengorbankan nyawa namun menyebabkan 1,500 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Selepas beberapa minggu di Sao Filipe, sebuah bandar di mana sebelum ini agak sunyi dan tidak ramai penduduk, Montrond kembali semula ke Cha Das Caldeiras bersama dengan isterinya. Tidak ada burung yang berterbangan di udara berikutan kualiti udara yang masih dicemari dengan abu malah tidak ada seekor makhluk pun yang berada di kawasan itu di sebabkan batu lava yang masih panas dan menutupi lantai lembah Cha Das Caldeiras.
Untuk beberapa minggu, Montrond dan isterinya tinggal di sebuah khemah di atas bumbung rumah mereka yang telah dimusnahkan oleh lava tanpa air, tenaga elektrik dan tidak ada makanan selain beberapa barang dalam tin. “Kami tinggal di tempat perlindungan sementara, ia tidak menentu, berbahaya dan kami terus berhasrat untuk pulang sahaja,” tambahnya.
Bagi Montrond, sangat sukar untuk membayangkan tinggal di mana-mana namun kawasan ini keadaan tanah sangat subur, sehingga beberapa jenis tanam-tanaman menjadi subur seperti anggur, pokok ara dan juga ubi kayu. “Gunung berapi ini membolehkan kami terus hidup lama,” kata Montrond. Tetapi bagaimana dengan masa depan? “Gunung berapi itu hidup saya,” Montrond mengangkat bahu, sambil menatap rumah yang dibina dengan tangannya sendiri. “Saya dilahirkan di sini, saya akan mati di sini,” tambahnya.
Batu-batu terjatuh
Gunung berapi itu telah memberi namun gunung berapi itu juga mengambil. Mula-mula ia menghancurkan pokok anggur namun gunung tersebut telah memberikannya tanah yang subur sehingga penanaman yang baharu berhasil dengan baik. Ini menghasilkan produk minuman di mana sebahagiannya akan dieskport. Kebanyakan penduduk menjadikan gunung berapi itu sebagai sebahagian daripada identiti mereka.
Letusan gunung berapi itu memberikan satu kebangkitan dan nostalgia. Margarita Lopes Dos Santos, 99 tahun telah dipaksa keluar dari rumahnya oleh tiga letusan terakhir Pico Do Fogo. Yang pertama meletus pada bulan Jun 1951, sejurus selepas dia melahirkan anak pertamanya. “Saya masih lagi ingat peristiwa itu seperti baharu semalam ia berlaku,” katanya sambil tesenyum. “Letusan seterusnya menjadi lebih ganas, batu-batu jatuh dari langit, dipenuhi asap dan juga asap,” katanya sambil mengutip kacang.
Di luar rumahnya, Lopes Dos Santos telah menanam pelbagai jenis pokok bunga, memberikan pemandangan yang hebat di atas landskap yang berwarna hitam dan kelabu.
“Daya tahan penduduk Cha sangat luar biasa,” kata Jorge Nogueira, presiden Majlis Perbandaran Sao Filipe, ibu kota pulau Fogo, Cape Verde. Sebaik keadaan semakin baik, mereka terus kembali walaupun berdepan gaya hidup yang sukar, tetapi mereka tidak menghiraukannya, satu-satunya perkara yang penting ialah mereka dapat pulang ke rumah sendiri, tambahnya. – AFP