Kemungkinan gangguan bekalan air hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan, memaklumkan orang ramai mengenai kemungkinan berlakunya gangguan bekalan air atau tekanan air rendah pada 17 November, mulai 9 pagi sehingga 11 pagi.

JKR menjelaskan, gangguan bekalan air atau tekanan air rendah berkenaan adalah disebabkan kerja-kerja mengganti suis MCCB bagi pam air mentah di Loji Rawatan Air Mengkubau yang akan dilaksanakan pada hari berkenaan.

Sehubungan itu, beberapa kawasan yang berkemungkinan akan mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah adalah keseluruhan kawasan Muara, Serasa, Serai Pimping, Kampung Kapok, Kampung Salar, Kampung Sungai Buloh, Kampung Tanah Jambu, Kampung Batu Marang, Kampung Perpindahan Mentiri, Kampung Mentiri, Kampung Pengkalan Sibabau, Kampung Sungai Besar, Kampung Sungai Belukut, Kampung Pudak, Kampung Sungai Bunga, Kampung Sungai Matan, Kampung Serdang, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mengkubau, Perpindahan Kampung Sungai Buloh dan kawasan sekitarnya.

Dalam kenyataan itu, JKR memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui tanker (perkhidmatan adalah terhad) atau sebarang aduan berhubung bekalan air.