Kemusnahan hutan dunia lebihi keluasan Jerman

PARIS, 13 JAN – Sebanyak 43 juta hektar hutan dilaporkan musnah dan lenyap sejak sedekad lalu melebihi saiz keluasan Jerman, kata Tabung Hidupan Liar (WWF) semalam.

Analisis daripada pertubuhan itu mendapati hutan digondolkan setiap tahun disebabkan banyak kawasan diratakan bagi mewujudkan perindustrian pertanian berskala besar sekali gus memusnahkan khazanah biodiversiti bagi menjalankan aktiviti ternakan dan tanaman.

Analisis WWF itu mendapati 29 lokasi meliputi benua Amerika Selatan, Afrika dan Asia Tenggara yang bertanggungjawab atas kehilangan lebih separuh daripada hutan global.

Katanya, hutan Amazon dan Cerrado di Brazil, hutan Amazon di Bolivia, Paraguay, Argentina begitu juga di Madagascar, Sumatera dan Borneo di Indonesia dan Malaysia adalah antara hutan paling teruk terjejas.

Hutan di wilayah Cerrado, Brazil yang menjadi habitat lima peratus hidupan dan tanaman bumi, dilaporkan dibersihkan secara besar-besaran untuk penanaman soya dan produk ternakan menyumbang kepada 32.8 peratus kehilangan kawasan hutan antara 2004 dan 2017. Panel Perubahan Iklim antara Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan inovatif mengenai penggunaan tanah pada 2019, yang mana menggariskan pertukaran menggunakan tanah yang kian meningkat. – AFP

Gambar bertarikh 3 September 2020 menunjukkan aktiviti pembasmian hutan di Taman Negara di La Macarena, Colombia. Lebih 43 juta hektar hutan, kawasan lebih besar daripada saiz Jerman, telah lenyap, menurut WWF kelmarin. – AFP